3 November 2014

Day 20 : Lapan Pintu Murah Rezeki


Cabaran, Pengedar Shaklee Kuantan, Agama, Info, Kongsi,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Ayuh kita fahami dan hayati perkara-perkara berikut untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. dan menjauhi amalan-amalan yang boleh menjadi penyebab terhalangnya rezeki daripada Allah SWT. Rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi rezeki itu meragkumi keseluruhan kehidupan kita iaitu mendapat keberkatan, ketenangan, kebahagiaan dan keselamatan daripada musibah dan bencana.

Dalam soal rezeki manusia hanya diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal. Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan akidah seorang muslim, Allah swt. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah Al-Razzak iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah swt. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah swt. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Sebagai seorang manusia biasa kadangkala keyakinan dan pergantungan kita kurang kepada Allah SWT. Kita menganggap usaha-usaha kitalah penentuaan segala-galanya untuk mendapatkan rezeki. Tetapi seorang mukmin berbeza pandangan dan keyakinannya. Ikhtiar dan usahanya adalah dalam rangka ibadah tetapi pergantungannya mutlak kepada Allah swt. Jika dia memperolehi sedikit rezeki dia redha dan menerima banyak dia bersyukur kepada-Nya.

Apabila kita membicarakan mengenai rezeki, ulama telah ada menjelaskan bahawa terdapat lapan (8) pintu murah rezeki. Jika kita faham dan amalkan perkara-perkara tersebut akan terbuka pintu-pintu rezeki yang akan dibukakan oleh Allah swt. samaada daripada langit atau pun dibumi.

Pintu-pintu tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Jangan derhaka dengan ibu bapa.

Kedua : Jangan bergaduh dengan saudara mara.

Ketiga : Berusaha untuk menunaikan fardu haji / umrah.

Keempat : Sentiasa sembahyang sunat duha.

Kelima : Jangan tidur selepas solat subuh.

Keenam : Selalu baca surah Al-Waqiah di waktu malam setiap hari dan berdoa selepas membaca surah tersebut.

Ketujuh : Rezeki ada dalam perkahwinan.

Kelapan : Rezeki ada pada anak “Semasa bayi itu lahir, empat perkara ditetapkan antaranya ialah rezeki dan rezeki anak itu juga akan turun kepada ibu bapanya.

Huraiannya :

Pertama : Jangan derhaka dengan ibu bapa.

Nabi SAW dalam suatu peristiwa ditanya oleh seorang lelaki sebagaimana hadis bermaksud: "Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?" Jawab Rasulullah SAW: "Ibumu". Lelaki itu bertanya lagi: "Kemudian siapa lagi?" Ujar Baginda: "Ibumu". Lelaki itu bertanya sekali lagi: "Kemudian siapa lagi?" Jawab Baginda:" Ibumu". Lelaki itu bertanya lagi: "Siapa lagi?" Baginda menjawab: "Bapamu". (Muttafaqun alaih)

Malah, dalam sebuah hadis lain dinyatakan: "Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Jika seorang anak itu derhaka kepada kedua ibu bapanya atau salah satu daripadanya maka akan tertutup pintu-pintu rezeki dan keberkatan. Rezeki yang tidak berkat walau pun dapat banyak tetapi cepat habis dan sentiasa tidak mencukupi.

Kedua : Jangan bergaduh dengan saudara mara dan ahli keluarga.

Pergaduhan di antara adik beradik, di antara anak dengan ibu bapa, anak saudara dengan bapa saudara atau diantara mertua dengan menantu akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Sesiapa yang mulakan dahulu persengkitaan maka dia perlu memulihkannya semula.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. ( Hadis Riwayat Abu Daud : no 4914).

Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim dalam berkeluarga dan bermasyarakat.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang maksudnya :

"Kalau kamu tidak mematuhi perintah maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya".

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya." (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

Ketiga : Berusaha untuk menunaikan fardu haji / umrah.

Menunaikan fardu haji ke Baitullah adalah menyempurnakan rukun Islam ke lima bagi sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai kuota dan terpilih. Mereka yang berpeluang menjadi tetamu Allah SWT adalah mereka yang terpilih di sisi Allah SWT, oleh itu peluang untuk menjejakkan kaki ketanah suci cukup berharga dan doa disana sungguh mustajab di sisi Allah SWT. Terbukti mereka yang mendapat haji mabrur sentiasa dimurakkan rezeki oleh Allah SWT dan sentiasa di dalam ketaatan kepada-Nya. Jika belum berkesempatan menunaikan haji maka sekurang-kurangnya boleh memulakan dengan mengerjakan umrah sunat ke Baitullah.

Daripada Abdullah bin Masu'd bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Hubungkanlah sekalian kamu antara haji dan umrah kerana ia menghapuskan dosa dan kemiskinan seperti menghembus tukang besi akan kotoran besi, emas dan perak. (Hadis riwayat Tirmizi).

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan". (Hadis riwayat Bukhari).

Jika belum mendapat peluang mengerjakan haji tetapi berpeluang menunaikan umrah maka tunaikanlah kerana banyak keberkatan dan kebaikan di dalamnya. Lebih baik mengerjakan umrah daripada menghabiskan wang melancung ke luar negara.

Keempat : Sentiasa solat sunat Duha.

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat Duha." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi SAW. telah bersabda : Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Duha yang mana antara faedahnya, Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari termasuk rezeki untuk manusia.

Kelima : Jangan tidur selepas solat subuh.

Ibn Qaiyim menambah, "Tidur pada awal (lepas waktu subuh) dan akhir siang hari (hampir magrib) amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya), merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan syahwat. Sekeji-keji ialah ketika pada awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur diakhir siang hari (lepas asar)."

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

Dari Abdullah bin ‘Umar r.a.,katanya Rasulullah Sallallahu’ Alaihi Wasallam bersabda:“Waktu Subuh adalah sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Apabila matahari terbit, berhentilah solat kerana dia terbit antara dua tanduk syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim )

Keenam : Selalu baca surah Al-Waqiah di waktu malam setiap hari dan berdoa selepas membaca surah tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. " (Hadis Riwayat Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

Kekuatan surah al-Waqiah juga ada dijelaskan di dalam ayat 89 hingga 91. Firman Allah S.W.T maksudnya : " maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga (yang penuh) kenikmatan. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan maka, "Salam bagimu (wahai) dari golongan kanan! (sambut malaikat)" (Surah al-Waqiah ayat 89-91)

Rasulullah SAW bersabda:

سُوْرَةُ الوَاقِعَةِ سُوْرَةُ الغِنَى فَاقْرَؤُوْهَا وَعَلِّمُوْهَا أَوْلاَدَكُمْ

Maksudnya : “Surah al-Waqiah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu.” (Hadis Riwayat Ibn Mardawaih daripada Anas: Kasyf al-Khafa’).

Ketujuh : Rezeki ada dalam perkahwinan.

Dengan berkahwin, bukan sahaja rezeki yang kita menjadi berkat bahkan Allah akan buka pintu rezeki kita dengan seluas-luasnya kerana kita sudah mengikuti sunnah dan juga mendirikan separuh dari agama.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Surah An Nuur ayat 32)

Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke alam perkahwinan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masaalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.

Allah akan menolong mereka yang berkahwin. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, ramai mereka sebelum berkahwin miskin tidak mempunyai apa-apa harta, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya sekeluarga.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang berkahwin kerana ingin memelihara kehormatannya”. (Hadis Riwayat Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

Kelapan : Rezeki ada pada anak “Semasa bayi itu lahir, empat perkara ditetapkan antaranya ialah rezeki dan rezeki anak itu juga akan turun kepada ibu bapanya.

Allah berfirman:

وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاَقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: “ Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan miskin, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu “(Surah al-Isra ayat 31).

Keadaan ini berlaku di zaman jahiliyah sejak dahulu lagi, tetapi ianya menular ke zaman moden ini. Dalam kalangan mereka ada yang membunuh anak kerana takut ditimpa kemiskinan, kerana apabila mereka mempunyai ramai anak maka kos pengeluaran dan sara hidup akan menjadi bertambah tinggi dan perkara ini merupakan suatu bebanan yang besar, apatah lagi mereka hidup di kota raya yang memerlukan banyak kos yang perlu dibelanjakan. Kejadian membunuh anak pada hari ini dapat kita baca dalam ruangan akhbar dan media massa.

Sesungguhnya ayat di atas adalah jaminan daripada Allah swt. setiap anak yang dilahirkan telah dijamin rezeki oleh Allah swt.

Jom kita sama-sama amalkan 8 pintu untuk dimurahkan rezeki. Insya-allah.



No comments:

Post a Comment

Hai rakan2, dipersilakan untuk memberi komen atau sebarang persoalan serta kritikan.

AzZa WaMeAz eShop © . Designed by MaiGraphicDesign